Selasa, 5 Jun 2007

Skim Pemborong Prosper

Latar Belakang

Pemborongan dan pengedaran adalah satu bahagian penting dalam rantaian bekalan bahan. Usahawan Bumiputera perlu merebut peluang perniagaan dalam sektor yang berpotensi ini di samping menyokong usahawan dalam bidang peruncitan.

Bagi mencapai tujuan ini, PUNB menyediakan satu pakej keusahawanan khusus untuk membangun usahawan Bumiputera sebagai pemborong, pengedar atau pembekal yang berdaya maju dan berdaya saing.

Skim Pemborong PROSPER ini disasarkan kepada Bumiputera yang ingin memula atau mengembang perniagaan pemborongan, pengedaran atau pembekalan.

Objektif Skim

  • Membangun usahawan Bumiputera dalam aktiviti belian dan jualan pukal bahan serta bekalan.
  • Menyediakan sumber barangan dan bekalan bahan pada kos yang dapat meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan.

Pakej Keusahawanan

1. Pembiayaan

Skim berlandaskan prinsip Syari'ah ini menawarkan pembiayaan di antara RM250,000 sehingga maksimum RM5 juta. Tempoh pembayaran balik pembiayaan ialah sehingga tujuh (7) tahun.

Tujuan pembiayaan boleh merangkumi keperluan modal pusingan, pembelian stok dan aset, serta lain-lain keperluan yang berkaitan dengan perniagaan dicadangkan.

2. Perkhidmatan Perniagaan

Selain dari penyediaan pembiayaan, skim ini juga menawarkan khidmat pemantauan, kenal pasti premis, jaringan perniagaan serta latihan keusahawanan.

Kesemua khidmat ini adalah untuk menyediakan landasan kepada usahawan Bumiputera merebut peluang perniagaan serta berkongsi pendapat dan pengalaman bagi memantapkan perniagaan mereka.

Syarat Kelayakan

1. Usahawan

  • Bumiputera
  • Mempunyai ciri-ciri keusahawanan unggul seperti kejujuran, keyakinan diri, berdaya tahan, berfikiran positif, kreatif dan disiplin diri yang tinggi.
  • Mempunyai pengetahuan dalam bidang yang hendak diceburi atau berpengalaman dalam perniagaan sedia ada atau telah mendapat kontrak/hak pembekalan/pengedaran sesuatu barangan.
  • Membiayai sekurang-kurangnya 20% daripada kos projek.
  • Tiada rekod yang kurang memuaskan dengan mana-mana institusi kewangan.
  • Komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan.
  • Sanggup mengikuti kursus-kursus yang dikenal pasti.

2. Perniagaan

  • Berbentuk pemborongan, pengedaran atau pembekalan.
  • Dimiliki dan diusahakan oleh Bumiputera.
  • Berdaya maju dan mempunyai sinergi dengan bidang peruncitan.

Bidang Perniagaan

PUNB menawarkan peluang pembiayaan dalam bidang-bidang seperti berikut:

  • Makanan
  • Bahan binaan dan kelengkapan binaan
  • Kejuruteraan - alat ganti dan jentera
  • Keperluan berasaskan pertanian
  • Barangan dan kelengkapan kesihatan dan farmasi
  • Barangan herba / kosmetik
  • Barangan berasaskan tekstil
  • Lain-lain perniagaan yang sesuai dengan keperluan bidang peruncitan

Proses Penilaian
1. Penilaian Awal
Pemohon hendaklah menghantar cadangan perniagaan ke PUNB untuk dipertimbangkan. PUNB akan berbincang dengan pemohon untuk memahami cadangan perniagaan secara menyeluruh. Penilaian awal tertumpu kepada lima (5) aspek utama perniagaan iaitu produk, pasaran, pengurusan, operasi dan kewangan untuk menentukan penilaian seterusnya.


2. Pembentangan Cadangan Perniagaan
Jika melepasi penilaian awal, pemohon akan diminta membuat pembentangan kertas cadangan kepada Jawatankuasa Penilaian PUNB yang akan menilai lima (5) aspek utama perniagaan yang dimaksudkan dan kriteria pelaburan pemohon.

3. Penilaian dan Usaha Wajar
Setelah Jawatankuasa Penilaian PUNB berpuas hati dengan cadangan perniagaan dan mendapat persetujuan pemohon, satu penilaian terperinci serta usaha wajar akan dijalankan berasakan lima (5) aspek perniagaan dinyatakan, entiti perniagaan dan latar belakang pemohon.

4. Kelulusan dan Dokumentasi
Apabila selesai penilaian terperinci dan usaha wajar, cadangan perniagaan akan dimajukan ke Jawatankuasa Pelaburan PUNB untuk kelulusan, diikuti proses dokumentasi berkaitan terma dan syarat pembiayaan.

5. Pengeluaran Dana dan Pelaksanaan
Setelah semua dokumen dan syarat pengeluaran dana dipenuhi, PUNB akan mengeluarkan dana kepada perniagaan untuk digunakan bagi tujuan yang dipersetujui. PUNB akan memantau pelaksanaan perniagaan supaya penggunaan dana mencapai sasaran perniagaan.

Cara Memohon

Untuk memohon, sila hantarkan cadangan perniagaan anda yang lengkap dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk berikut:

1. Ringkasan Eksekutif
Peluang perniagaan, produk, pasaran dan pengurusan; cadangan jumlah pembiayaan dan kegunaannya dan ringkasan penyata pendapatan serta keperluan modal untuk lima (5) tahun.

2. Peluang Perniagaan
Huraian produk dan bagaimana ia dapat memenuhi keperluan usahawan peruncitan.

3. Strategi Perniagaan
Ulasan strategi perniagaan termasuk kewangan dan pembangunan perniagaan.

4. Pelan Pemasaran
Keperluan pelanggan, segmen pasaran, saluran pengedaran, strategi dan rancangan jualan, persaingan dan kedudukan perniagaan.

5. Pelan Operasi
Pelan operasi harian, perolehan bekalan, keperluan peralatan dan kemudahan serta pelan pentadbiran.

6. Pengurusan dan Kakitangan Utama
Maklumat lengkap kakitangan utama, organisasi, perancangan sumber manusia dan program insentif & ganjaran, jika ada.

7.Unjuran Kewangan
Ramalan lima (5) tahun termasuk penyata untung dan rugi, kunci kira-kira dan penyata aliran wang tunai.

Pemohon hendaklah menghantar cadangan perniagaan ke:

Sekretariat PROSPER
(Skim Pemborong PROSPER)
PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD
Tingkat 10, Blok 1B
Plaza Sentral
Jalan Stesen Sentral 5
KL Sentral
50470 Kuala Lumpur

atau

Emel ke: pemborong@punb.com.my
Web : http://www.prosper.com.my/

Tiada ulasan: